Banjir gelombang kedua mula landa 2 negeri

Saturday, November 21, 2009

KOTA BHARU: Gelombang kedua banjir mula melanda Kelantan dan Terengganu yang menyaksikan 562 mangsa dari kedua-dua negeri dipindahkan.

Di KELANTAN, 224 mangsa banjir dari jajahan Kuala Krai dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Telekong, semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri, berkata mangsa merangkumi 151 dewasa, termasuk 84 wanita serta 73 kanak-kanak daripada 34 keluarga dari Mengkebang yang penempatan mereka dilimpahi air Sungai Kelantan dan dipindahkan kira-kira jam 4 petang semalam.


Banjir kilat di Rantau Panjang pula membabitkan 14 mangsa dari tiga keluarga yang dipindahkan ke rumah saudara mara atau jiran di kawasan selamat dengan punca bencana kerana penempatan mereka terletak di kawasan rendah dan mudah ditakungi air apabila hujan lebat, bukan kerana limpahan air sungai.


Bagaimanapun, semua jalan utama di daerah berkenaan masih boleh dilalui oleh kenderaan dan tiada kejadian tanah runtuh atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Sehingga lewat petang semalam, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Jenob mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya dengan masing-masing 9.33 meter dan 23.77 meter berbanding paras bahaya 9 meter dan 23.50 meter.

Tiga sungai mencatat bacaan melebihi paras waspada iaitu Sungai Kelantan di Kusial dengan 14.84 meter (waspada 12 meter), Sungai Lebir di Tualang, 29.76 meter (waspada 27 meter), Sungai Kelantan di Kuala Krai, 22.37 meter (waspada 20 meter), Sungai Galas di Dabong 28.26 meter (waspada 32 meter) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, 2.25 meter (waspada 3 meter).

Di TERENGGANU, hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu meningkatkan paras sungai, menenggelamkan kawasan rendah sejak awal pagi semalam hingga memaksa 338 mangsa daripada 83 keluarga dipindahkan ke 12 pusat pemindahan di empat daerah negeri ini setakat jam 6 petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir, Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkata Hulu Terengganu paling teruk terjejas dengan 165 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan dengan kawasan terjejas, termasuk Kampung Cheting, Penih, Chenerung Lebam dan Pengkalan Ajal.

Di Kemaman, tiga pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan 124 orang daripada 34 keluarga yang sebahagian besarnya dari Kampung Padang Kemunting, Ibok dan Kampung Sarang Lang, Kemasek yang dipindahkan sejak jam 8 pagi.

Sebatang jalan di Kampung Batu Puteh, Kertih sepanjang kira-kira 50 meter ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air sedalam 0.4 meter.

Di Dungun, 31 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Tok Kah dan Kampung Paya Balai Besar dipindahkan ke dua pusat pemindahan, manakala di Marang, dua pusat pemindahan dibuka di Kampung Temala dan Durian Parit untuk menempatkan 18 orang daripada empat keluarga.

Sebanyak 327 pusat pemindahan sudah dikenal pasti di negeri ini yang mampu menempatkan keseluruhan 48,039 mangsa, merangkumi sekolah, balai raya, masjid dan dewan orang ramai.

Pusat berkenaan membabitkan 87 di Besut, Hulu Terengganu (73), Dungun (52), Kemaman (33), Setiu (31), Kuala Terengganu (27) dan Marang (24). Sejumlah 386 bot penyelamat bersedia untuk membawa mangsa banjir ke pusat pemindahan.

Sebanyak 10 laluan ditutup hingga petang semalam termasuk Jalan Sungai Tong-Kuala Berang di Kilometer (Km) 11.5, Jalan Sungai Tong/Pelong Km 9 hingga 10, Jalan Hulu Seladang-Kampung Che Long, Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga di Kampung Alor Wan Said dan di Km 14 Jalan Jerteh-Keruak di Kampung Terubong.

Banjir turut menyebabkan sekumpulan 137 pelajar Politeknik Kota Bharu bersama 20 tenaga pengajar terkandas sejak awal pagi semalam di kawasan rekreasi Lata Belatan berhampiran kaki Gunung Tebu di Besut sebelum berjaya keluar kira-kira jam 4 petang.

Mereka berkhemah di kawasan itu sejak tiga hari lalu tidak dapat keluar dari kawasan itu selepas laluan ke jalan utama di Kampung Kuala Kubang dinaiki air sedalam 0.5 hingga 1 meter.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Roslan Hassan, berkata pasukan keselamatan termasuk polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) masuk ke kawasan itu jam 10 pagi bagi memantau keadaan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Di KEDAH, banjir melanda negeri ini sejak dua minggu lalu pulih sepenuhnya apabila kumpulan terakhir 239 mangsa membabitkan 58 keluarga di daerah Bandar Baharu dibenarkan pulang. ke rumah mulai 1 tengah hari semalam, sekali gus operasi bilik gerakan banjir juga dihentikan.
sumber: berita harian

0 comments: