Menjadi insan baru selepas Ramadhan

Tuesday, September 2, 2008

Bulan ramadhan sudah pun tiba - bulan yang mulia bagi umat Islam.
Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan berpuasa bagi
memenuhi rukun Islam yang ketiga. Di sebalik ibadah
puasa itu terselit di dalamnya satu proses melatih diri,
bukan sahaja yang berkaitan dengan ibadah puasa, tetapi
juga perkara-perkara lain dalam hidup kita, dengan
syarat ia dilakukan bersungguh-sungguh sehingga sebati
dengan hidup kita.

Dengan memenuhi syarat-syarat sah berpuasa, umat
Islam terlatih dengan kesedaran tentang waktu.
Misalnya, memasang niat untuk berpuasa pada setiap
malam. Ini melatih kita untuk lebih sedar tentang waktu
agar tidak lupa untuk berniat sebelum luput waktu.
Begitu juga kita perlu menjaga waktu masuknya Subuh
agar tidak lagi makan dan minum pada waktu tersebut
dan menjaga waktu masuknya Maghrib agar dapat segera
berbuka kerana makruh hukumnya kalau kita melambatlambatkan
berbuka.

Ketika berpuasa, umat Islam juga dituntut untuk
berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh
membatalkan puasa, baik ketika bersama orang lain,
mahupun ketika bersendirian. Kita maklum bahawa
sama ada kita benar-benar berpuasa atau tidak, hanya
kita dan Allah sahaja yang tahu. Bagi mereka yang tidak
takutkan Tuhan, mereka hanya berpuasa di hadapan
orang tetapi makan dan minum bila bersendirian.
Tetapi, melalui ibadah ini, kita meneguhkan kembali
prinsip ``Tuhan melihat segala apa yang kita lakukan.’’
Sekiranya prinsip ini tertanam kukuh dalam diri kita,
kita akan takut untuk berbuat jahat dan maksiat baik di
hadapan orang, mahupun ketika bersendirian selepas
bulan Ramadan ini.

Ramadhan medan latihan

Dalam bulan ini juga, umat Islam dilatih untuk
memperbanyakkan amalan-amalan sunat dan yang
dituntut oleh Islam seperti membaca al-Quran dan
bersedekah. Pada masa yang sama, ketika berpuasa
kita dilatih untuk meninggalkan perkara-perkara
yang makruh dan dilarang seperti mengumpat atau
meninggalkan sembahyang.

Sekiranya kita benar-benar menjaga diri dalam proses
latihan ini, tabiat-tabiat baru yang baik ini akan terus
melekat dalam diri kita manakala perbuatan-perbuatan
terlarang yang kita tinggalkan sepanjang Ramadan pula,
akan terus meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Oleh itu, hayatilah Ramadan ini dengan sebaik-baiknya
agar kita menjadi `orang baru’ menjelang Syawal kelak.

0 comments: