Kedah berjaya kurangkan kadar kemiskinan sepanjang 2009

Sunday, January 3, 2010

ALOR SETAR, 2 Jan: Kerajaan Negeri Kedah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar di negeri ini, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Razak.

"Kita juga telah berjaya mencapai beberapa sasaran penting tahun 2009 seperti pengurangan kadar kemiskinan kepada 3 peratus.

"Begitu juga dengan kadar kemiskinan tegar telah berjaya dikurangkan kepada 0.3 peratus dan kadar pengangguran kepada 3.3 peratus," katanya.

Untuk tahun 2010 ini, kerajaan negeri katanya akan terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan dan keadilan semua pihak di negeri ini dengan mengotakan janji sebagai asas perjuangan kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Menurut Azizan, azam tahun baru tidak akan memberi apa jua pengertian sekiranya ia tersasar daripada membawa keadilan dalam mencapai keredaan Allah.

"Sehingga Oktober 2009 yang lalu daripada anggaran hasil sebanyak RM480 juta, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip sebanyak RM211.6 juta.


"Dalam tahun 2010 ini aspek yang akan diberi keutamaan ialah kebajikan rakyat, pertanian, kemudahan ICT, agama dan juga sosial, pembangunan infrastruktur dan pentadbiran.

"Kerajaan Negeri juga akan memperbanyakkan lagi program baru yang mampu membantu usahawan tempatan untuk memasuki pasaran tempatan dan juga antarabangsa,"katanya lagi.

Menurut beliau lagi setiap masyarakat tanpa mengira kaum dan agama adalah bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan negeri Kedah supaya kehidupan yang aman, selesa dan diberkati dapat dinikmati bersama.